Khamis, 17 Julai 2008

Poligami - suam hangat membara

Salam ...
Isu poligami tercetus lagi. Bermula dari meja bulat di office saya sewaktu makan tengah hari hingga ke dalam ruang maya ni isu itu tetap menjadi perbualan. Sampai ke peringkat keluarga juga isu ini tetap menjadi topik yang menjadi pilihan. Apa tah lagi poligami dilihat sebagai salah satu cara penyelesaian bagi isu zuriat. Itu polimik yang saya hadapi. Sebab untuk berpoligami telah ada dan mempunyai hujah yang kukuh untuk di bawa ke Mahkamah Syariah untuk memohon berpoligami. Apa tah lagi setelah kebenaran dari isteri telah diperolehi secara verbal. Namun dalam hati, Allah swt sahaja yang tahu. Kalau ikhlas dan redha dalam hati biar Allah swt yang mengganjarinya namun sekiranya hanya satu kemunafikan maka biar Allah swt juga yang menentukannya kerana kita hidup bukan hanya untuk di dunia sahaja. Di akhirat sana yang kekal abadi. Maka menurut boss saya, lesen besar dah diperolehi, apa tunggu lagi. Jalan sajalah.
Semenjak 5 tahun lalu, saya telah melakukan satu pencarian keputusan sama ada nak poligami kerana isu zuriat merupakan isu yang cukup besar dalam islam. Tiada zuriat bererti, satu kekurangan yang amat akan dirasai. Masih ingat 3 perkara yang akan menyumbangkan amalan kebajikan yang berterusan untuk kita setelah kita mati kelak? Sedekah Jariah kita, Ilmu yang bermanafaat yang disebarkan dan DOA anak anak yang soleh. Doa dari zuriat kita. Penting tu. Sebanyak mana sedekah jariah kita? setinggi gunung uhud ke? dan setinggi mana ilmu kita? Ramai ke anak murid yang kita ada? Maka di sinilah perlu dilihat betapa pentingnya isu zuriat. Anak dari darah daging kita sendiri. Namun dari tahun ke tahun, saya masih lagi menangguhkan keputusan untuk berpoligami. Ada yang melabelkan saya takut bini, ada juga yang label saya terlalu sayangkan bini. Pada mereka yang suka melabel ini, saya katakan pada mereka bahawa saya lebih takutkan Allah swt kerana azab seksaanya lagi pedih dan perit. Namun itulah jawapan saya penuh dengan keikhlasan dan kejujuran. Saya percaya, rezeki Allah swt yang beri dan setiap insan dan perkahwinan serta kelahiran seorang anak telah dijanjikan oleh Allah swt rezekinya namun secara jujur apabila direnungkan dan difikirkan maka banyak pula perkara perkara yang menghalang.
Isu keadilan, isu nafkah zahir dan batin, isu pembahagian masa dan harta semuanya berligar dikepala. Seorang sahabat bos saya telah pun sudi berkongsi pengalaman beliau berpoligami. 3 bulan honeymoon dan 9 bulan berikutnya tsunami. Maka menambah kegerunan saya untuk berpoligami. Secara jujur, saya takut dengan Allah swt namun apa hujah yang boleh saya bawa depan Allah swt bila dipersoalkan usaha saya
meramaikan umat Nabi Muhamad saw?
Apa usaha saya untuk mendapatkan zuriat? Bagi mereka yang telah melakukan IVF/ICSI, pastinya mereka mengerti berapa lama masa yang diambil dan berapa banyak duit yang telah dibelanjakan namun bagi mereka yang mudah memperolehi anak, itu semua tiada nilainya bagi mereka. Ada juga yang menyalahkan saya atau isteri saya. Ada pula yang menyatakan mungkin masa berjimak tidak betul. Sepatutnya 2 hari sebelum waktu subur dan 2 hari selepas waktu subur, berjimaklah mengikut adab dan sunnah Nabi. Maka ingin saya jelaskan bahawa usaha tetap dilakukan diperingkat itu tetap konsisten namun usaha lain perlu juga dilakukan.
Bila saya dan isteri saya telah bersedia untuk mempertingkatkan kedudukan kami ke satu lagi peringkat, maka seperti biasa syaitan seringkali menggoda dan cuba menghalang usaha baik yang hendak ilakukan. Saya diuji dengan rasa was was, mampu ke saya? Adil ke saya? Begitu juga dengan isteri saya, sekejap  suruh abang kahwin lagi satu lah, sekejap tanya abang nie mampu ke? sekejap lagi, abang carilah calon? Dan masa yang dihabiskan untuk melayan godaan syaitan ini berlanjutan hingga ke hari ini. Saya masih lagi belum berpoligami.
Secara jujur dan ikhlas, seperti yang saya katakan pada isteri saya, saya memang nak berpoligami kerana saya perlukan zuriat yang mendoakan saya setelah saya mati. Kalau perlu saya berkahwin 4 untuk itu maka saya akan lakukan. Cuma, saya perlu mencari calon isteri yang Nabi cadangkan, yang berkahwin hanya kerana agamanya. Agar depan Allah swt saya boleh berhujah, saya dah mencuba untuk mendapatkan zuriat sedaya dan semampu saya dan saya mendapat kerjasama dari semua isteri isteri saya maka saya redha dengan mereka dan saya minta agar mereka mendapat ganjaran yang sepatutnya. Saya dah buat IVF, saya dah berpoligami dan saya dah cuba menjadi seorang insan yang beramal soleh, saya dah berdoa dan berusaha serta saya bertawakal. Baru saya boleh hujahkan semuanya ketentuan Mu, Ya Allah. Ini usaha tak ada, cuma doa dan tawakal kemudian berserah. Dah takdir Mu. Tak rasa bersalah ke bila kita kata oh dah takdir sedangkan usaha belum lagi dilaksanakan?
Usaha terkini yang saya dan isteri lakukan ialah menambil anak angkat. Niat bukan sebab dengar dan ikut orang kata bahawa ramai yang ambil anak angkat, isteri mereka mengandung selepas beberapa tahun, namun
niat kami sebagai sedekah jariah kami. Yang mengizinkan seorang isteri itu mengandung ialah Allah swt. Bukan sebab ambil anak angkat. Ambil anak angkat sebab itu sedekah jariah kita dan harap harap pahalanya
akan sampai kepada kita sehingga selepas kematian kita. Setiap amalan bermula dengan niat.
Apa yang saya hendak sampaikan ialah, setiap orang ada keperluan masing masing untuk menggunakan poligami sebagai satu pilihan dalam kehidupan dan mereka akan diuji dengan pilihan tersebut. Nasihat saya, kembali pada Islam. Ajaran islam. Hayati islam. Amalkan ajaran islam dalam kehidupan. Rukun rukun iman sebagai pelindung kepada nilai Islam dan Rukun Islam sebagai pembuktian keislaman dan keimanan kita. Berbaloi ke hanya kerana isteri atau suami dan anak anak, kita masuk ke dalam neraka Allah swt? Apa yang penting ikut suara hati yang ikhlas dan jujur bukan nafsu dan akal sahaja. Kita jalankan tanggungjawab kita sebagai Hamba Allah swt sebagai suami atau isteri, sebagai seorang anak dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Wasalam ...
Kepada isteri kesayanganku - Aku tak pernah lupa akan sumbangan dan pengorbananmu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan ku doakan agar Allah swt memberikan ganjaran yang setimpal dengan  Sumbangan dan pengorbananmu.
Kepada anak angkatku - Walaupun kau bukan dari darah dagingku, namun kasih dan sayangku, ajaran dan didikanku tetap sama yang akan ku berikan kepada zuriatku. Ku doakan agar kau menjadi anak yang soleh,
yang akan beriman, berilmu dan bertakwa kepada Allah swt serta beramal soleh.