Rabu, 21 November 2007

Kembali ke jadual giliran

Dah lama kami tak bergilir menjaga adam. Nampak gaya konsep giliran menjaga adam merupakan cara yang paling baik buat masa ini untuk menjaga adam. Ayah adam akan tidur dahulu dari pukul 9 hingga ke pukul 1 pagi sementara ibu adam menjaga keperluan adam dan kemudian ayah adam akan mengambil alih menjaga segala keperluan adam sementara ibu adam tidur. Ini memastikan kami berdua mendapat tidur dan kerehatan yang cukup demi kebaikan semua pihak.

Masa kami berdua untuk bermain dengan adam adalah dari lepas Maghrib hingga ke lepas waktu Isyak. Walaupun adam akan menghabiskan banyak masa bermain dengan ibu adam kerana adam akan berjaga dari waktu lepas isyak hingga pukul 12 lebih dan pada waktugiliran ayah adam, adam akan menghabiskan masa untuk tidur. Namun sebenarnya cabaran yang paling mencabar ialah menyediakan keperluan adam di awal pagi. Maklumlah rasa mengantuk dan letih, jadi sukar untuk bangun menyediakan keperluan adam.

Ayah adam melihat ianya satu peluang yang baik untuk beramal. Sekurang kurangnya dapat juga ayah adam menulis dan bertahjud di awal pagi. Dalam usaha untuk memastikan bahawa keperluan adam dicukupi, tidak perlu dilupakan keperluan diri sendiri untuk menemui Allah swt, Yang Memiliki segala galanya. Melahirkan rasa syukur dengan nikmat yang diberi. Sekadar sedikit tazkirah di awal pagi, ayah adam ingin mengingatkan diri sendiri dan pembaca blog adam.

Surah Ibrahim, Surah ke 14 ayat ke 7:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Semenjak pulang dari taska, sesekali kedengaran adam batuk dan bunyi nafasnya agak kuat dengaran. Lepas Isyak tadi, rasa risau muncul kembali dihati ayah adam lantas diberikan ubat pada adam dengan doa agar Allah swt memberikan kesembuhan dan dilindungi dari segala penyakit. Adam lena di ulit mimpi. Sesekali kedengaran adam berubah posisi tidur.

Pukul 3.30 pagi, adam mula bergerak gerak. Ayah adam dapat rasakan yang masa untuk memberi adam minum susu. 3 sudu susu di bancuh dengan 120 ml air dan dikocak sehingga benar benar larut di dalam botol. Lalu diberikan adam menyonyot botol susu. Beberapa minit kemudian yang tinggal hanyalah 20ml. Setelah kekenyangan dengan susu, adam kembali melelapkan mata. Menyambung mimpi indah. Masa untuk ayah adam menyambung tidur. Berehat seketika sebelum azan subuh berkumandang.

0 comments:

Catat Ulasan