Sabtu, 31 Mei 2008

Keluhan Peniaga Kecil

Salam,

Sekadar berkongsi coretan tentang apa yang berlaku pagi semalam. Semalam ayah adam bercuti kerana beberapa urusan yang tertangguh beberapa bulan. Dan setelah selesai segala urusan, ayah adam singgah sebentar di kedai runcit yang betul betul bertentangan dengan taska adam. Mulanya, ayah adam ingat nak beli bahan basah untuk dimasak namun ketika ayah adam terpandang jam dinding yang menunjukkan pukul 11.30 pagi, dan pukul 12.30 tgh nak bersolat jumaat, detik hatiku menyatakan tak sempat kalau nak masak. Jadi ayah adam hanya membeli sebuku roti buat pengalas perut.

Apa yang menarik perhatian ayah adam adalah perbualan antara pemilik kedai dengan isterinya yang mendukong bayi yang masih lagi kecil, si isteri bertanya kepada suaminya, "bagaimana dengan harga maggi?". Kedengaran si suami menyatakan."Entahlah, serba salah. Nak letakkan 90 sen, kita untung cuma 2 sen tapi harga barang semakin naik".

Ayah adam meletakkan sebuku roti yang ayah adam ambil dan bertanya harganya. RM2.20, Tanpa banyak soal ayah adam terus menghulurkan RM10 dan sementara menanti si suami ini menyediakan wang baki, si isteri mengeluh, "Barang semakin hari semakin naik. Sebungkus Maggi, kemarin dijual dengan harga RM0.70 dan hari ini terpaksa dijual dengan harga RM1.00 sebungkus. Untung cuma RM0.12. Itu pun kalau ada yang membelinya. Ramai yang ingat berniaga kedai runcit ini mendatangkan keuntungan namun sebenarnya yang untung adalah pekilang dan pemborong. Kita ni nak balik modal pun susah". ayah adam hanya mampu tersengeh dan mengiakannya. Peruncitan bukan bidang ayah adam. Kalau ICT nie dah hampir 10 tahun ayah adam berkecimpung. Dah masak dengan selok beloknya. Ayah adam hanya mampu tersenyum dan mengeluarkan perkataan "Begitu", sambil mengambil baki duit dan beredar.

Dalam perjalanan balik, ayah adam mula terfikir. Begitu rupanya keadaan di kedai runcit yang kecil. Rasanya dah lama ayah adam tak ke kedai runcit kecil. Bila ayah adam nak beli barang dapur, ayah adam akan ke Tesco, atau Giant atau Carrefour. Dan ayah adam tak pernah nak fikir sama ada barang yang ayah adam beli tu murah ke mahal. Terutama barang keperluan anak adam. Biasanya ayah adam akan menghabiskan RM200 hingga RM300 setiap kali ayah adam ke pasaraya besar. Ayah adam dan dan ibu adam bekerja, hanya masak hujung minggu, itu pun kalau rajinlah tapi biasanya kami makan diluar sama ada makan di kedai atau bungkus. Mungkin bagi diri ayah adam, pasaraya besar memudahkan segala urusan dan terdapat semua barang yang ayah adam perlukan.

Dan hari ini ayah adam baru tersedar bahawa demi kerana keselesaan diri ayah adam, demi kerana kemudahan diri ayah adam, pendek kata demi kepentingan diri ayah adam sendiri, rupanya ada insan lain yang terasa bahangnya. Ada insan lain yang menderita kerana tidak mampu bersaing dengan pasaraya besar dalam perang harga. Peniaga kecil ini pun sama seperti diri ayah adam. Ada anak isteri yang perlu diberi makan dan mereka juga berhak untuk mendapatkan keuntungan kerana dengan keuntungan itulah dia menyara anak isterinya dan sebagai modal pusingan perniagaannya.

Adil ke ayah adam membandingkan harga dikedainya dengan pasaraya besar? Hanya kerana beza harga seringgit dua ringgit, ayah adam menghukum kedai tersebut mahal? ayah adam tak tahu berapa banyak kedai runcit yang sepertinya, yang terpaksa tutup hanya kerana kehadiran pasaraya besar dan sikap insan seperti ayah adam. Terfikir diriku, sekiranya dia tidak dapat bersaing dan terpaksa menutup kedainya, apa yang akan berlaku. Mungkin peniaga ini akan terpaksa bekerja di pasaraya besar itu? Sekiranya itu berlaku maka kita kehilangan seorang lagi usahawan bumiputra.

Ayah adam tak tahu bagaimana nak membantu. Siapalah ayah adam. Cuma bermula dari hari ini, ayah adam akan terus memberikan sokongan ayah adam kepada peniaga kecil ini dengan membeli barang dari kedainya. Walaupun agak "mahal" sedikit namun rasanya berbaloi kerana ayah adam menyokong peniaga kecil bumiputra. ayah adam membeli barang dari kedainya, ayah adam membantu dia membesarkan anak anak dia yang satu hari nanti akan membantu ayah dan ibunya. Sama seperti ayah adam mengharapkan agar satu hari nanti, adam akan membantu seramai mana insan yang memerlukan bantuan

Wasalam.


0 comments:

Catat Ulasan