Jumaat, 1 Februari 2008

25 Pesanan Khas Buat Adam Harith

25 Pesanan Luqmanul Hakim

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan
yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin
selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang
bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada
Allah (SWT).

02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima
nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah (SWT). Orang
yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan
sentiasa menerima kemuliaan dari Allah (SWT) juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam
beribadat dan taat kepada Allah (SWT), maka dia tawadduk kepada Allah
(SWT), dia akan lebih dekat kepada Allah (SWT) dan selalu berusaha
menghindarkan maksiat kepada Allah (SWT).

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan
yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi
tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu
boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada Allah (SWT) tentang sesuatu yang
menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah (SWT). Takutlah kepada Allah
(SWT) dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan
terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah (SWT).

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana
tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan
sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada
memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat
batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada
semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai
utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah
saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan,
bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati
atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati,
sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan
menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada
kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana
sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila
makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana
manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya
sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan
pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan
musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta
nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu
mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak
ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia
tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka
ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana
dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah
engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati
hatilah.

17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis
wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya
seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang
berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya
sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun
biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang
tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana
itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan
hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan
Allah (SWT) bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk
yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata
kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih
selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu
mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana
sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang
pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu,
janganlah mensia siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang
pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan
sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu
akan menyesal.

24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari
mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau
tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau
akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya
janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.
Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua
muka, kelak akan membinasakan dirimu.

0 comments:

Catat Ulasan